MUKAH: Seorang buruh tempatan ditahan polis ketika berada dalam tandas sebuah stesen minyak di Selangau selepas didapati memiliki dadah, dalam satu operasi yang dijalankan, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dalam Ops Tapis di kawasan berkenaan.
Menurutnya, suspek, 29, ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam tandas premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemukan satu keratan tiub straw lut sinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Barang terlarang itu disimpan di dalam beg sandang berwarna hitam milik suspek dengan anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.36 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Rizal, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek direman selama tiga hari sehingga 23 April ini bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Rizal menegaskan bahawa pihak polis amat komited dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.



