ARTIKEL

Kredit: IPD Saratok

Lelaki ditahan selepas cederakan penunggang motosikal guna besi di Kabong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KABONG: Seorang penunggang motosikal cedera selepas dipukul menggunakan sebatang besi oleh seorang lelaki yang berang selepas ditegur kerana memasuki laluan mangsa di Jalan Roban-Kabong, Kampung Alit, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku pada 28 September lalu.

Menurutnya, mangsa yang sedang menunggang motosikal dari arah Kabong menuju Roban hampir dilanggar sebuah Perodua Kenari yang dipandu suspek dari arah bertentangan.

“Suspek kemudian memberhentikan keretanya sebelum mengambil sebatang besi dari dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mathew berkata, suspek kemudian menggunakan besi berkenaan untuk memukul mangsa pada bahagian tangan kiri.

Bagaimanapun, mangsa sempat menahan pukulan itu menggunakan tangan kirinya sehingga mengalami kecederaan pada bahagian lengan.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku menyerang mangsa selepas berang kerana ditegur berhubung tindakannya memasuki laluan mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 38 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine.

“Suspek turut mengaku berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian,” katanya.

Dalam tindakan itu, polis turut merampas sebatang besi sepanjang 37 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan.

Selain itu, polis merampas sehelai baju-T berkolar berwarna hitam dan sehelai seluar jeans berwarna biru.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil besi berkenaan dari dalam keretanya sebelum menyerang mangsa.

“Suspek mempunyai lapan rekod lampau membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain beberapa kesalahan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU