KUCHING: Seorang lelaki diberkas selepas melarikan diri dalam sekatan jalan raya (SJR) dan melanggar seorang pegawai kanan polis di Jalan Padungan, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi pada 20 Jun lalu, lelaki tempatan berusia 29 tahun itu bertindak merempuh SJR Ops Bersepadu Cegah Jenayah sebelum melanggar seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan Polis (ASP) yang menjalankan tugas.
“Akibat kejadian itu, pegawai berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian pinggang serta luka pada siku kanan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Alexson, suspek kemudiannya melarikan diri, namun hasil risikan dan tindakan susulan polis berjaya mengesannya kira-kira 7 pagi pada hari yang sama di Jalan Bintara, Samariang.

Katanya hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamine dan benzodiazepine.
Menurutnya, semakan lanjut turut mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
“Pada 22 Jun lalu, suspek dihadapkan ke Mahkamah Kuching dan dituduh mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, penjara setahun mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan penjara sembilan bulan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, suspek juga akan berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Sehubungan itu, Alexson menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan semasa sekatan jalan raya dan tidak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

