IPOH: Polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun mendatangkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana, Batu Gajah, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Md Noor Aehawan Mohammad berkata suspek ditahan kira-kira 9.50 malam di tepi Jalan Kledang hasil risikan selepas kejadian yang videonya tular di media sosial.
Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 11.47 pagi ketika mangsa bersama keluarganya pulang ke rumah dan mendapati suspek berada di dalam kediaman. Pergelutan berlaku apabila mangsa cuba menahannya sebelum suspek menghayunkan playar dari beg sandang dan terkena tangan kiri isteri mangsa.
Suspek kemudian cuba melarikan diri menggunakan motosikal mangsa, namun terjatuh sebelum meninggalkan motosikal serta beg sandang yang mengandungi peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah seperti dilapor Bernama.
Pemeriksaan mendapati tiada barangan hilang, namun tombol pintu hadapan rosak dan bilik tidur utama serta almari diselongkar.
Video kejadian berdurasi 54 saat itu tular di media sosial. Mangsa dan isterinya dirujuk ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.





