KUCHING: Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes mengaibkan kehormatan seseorang di Sekama, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek warga tempatan itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Sekama pada 19 November lalu.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan, namun tidak memperincikan kaitan peranti berkenaan dengan kes tersebut.
“Suspek telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman terhadap perbuatan menggunakan perkataan, bunyi, isyarat atau tindakan dengan niat mengaibkan kehormatan seseorang, termasuk menceroboh privasi individu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Dahliawaty Ahmad di talian 017-247 7118.
Maklumat juga boleh disalurkan melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244 444 atau mana-mana balai polis berhampiran.

