KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta di kawasan perumahan Kastam Demak Laut di sini pagi tadi, sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada 9.08 pagi berhubung penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Gita segera bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati individu terbabit berada dalam keadaan tidak bernyawa.
“Lelaki tersebut disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Alexson berkata, siasatan awal di lokasi mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi ASP Syed Zainal Abidin Syed Ali di talian 019-513 1156 atau Balai Polis Gita di talian 082-254 417 bagi membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” tambahnya.




