KUCHING: Seorang lelaki yang ingkar dan enggan menjelaskan kompaun bagi kesalahan merokok di tempat larangan menerima padah apabila dijatuhkan hukuman penjara tiga minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Berdasarkan fakta kes, dia ditangkap oleh pihak berkuasa kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sekitar jam 8.13 malam, 11 Jun lalu.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 11(1)(g) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau, iaitu merokok di kawasan larangan merokok.
Kompaun dikenakan ke atas tertuduh yang diperintahkan untuk membuat pembayaran di mana-mana kaunter Pejabat Kesihatan.
Tertuduh diberikan masa dua bulan untuk hadir membuat pembayaran atau mengemukakan rayuan pengurangan bayaran kompaun tetapi gagal berbuat demikian sehingga tamat tempoh pembayaran pada Ogos lalu.
Selain itu, Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, juga telah mengeluarkan notis untuk memerintahkan kehadiran lelaki itu di mahkamah (Notis di Bawah seksyen 32B) Akta Makanan 1983 mengikut Peraturan 11(1)(g) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Semasa prosiding kes, Pegawai Pendakwa Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Mohd Fairos Ibrahim, memohon agar hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran.
Selain daripada itu, ia juga untuk memberi pengajaran kepada orang awam agar tidak sambil lewa terhadap akta dan peraturan berkaitan dengan larangan merokok di tempat awam yang digazet sebagai kawasan larangan merokok.
Oleh hal yang demikian, Hui Chuan memerintahkan tertuduh menjalankan hukuman penjara berkuat kuasa hari ini (26 November).




