KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki hilang selepas dibaham buaya ketika menjala udang di kawasan tebing Sungai Lubuk Punggor, Simunjan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 5.56 petang semalam dan segera menggerakkan pasukan dari BBP Simunjan dan BBP Kota Samarahan ke lokasi.

Menurutnya, mangsa yang berusia 32 tahun dilaporkan keluar menjala udang di kawasan tebing Sungai Lubuk Punggor menggunakan perahu bersama-sama ahli keluarganya pada awal pagi.
“Mangsa kemudian dilaporkan dibaham buaya kira-kira jam 4 petang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, radius tempat kejadian dari kampung dianggarkan dalam 200 meter.
Katanya pencarian awal telah dilakukan oleh orang kampung namun gagal menjumpai mangsa.
Malah, katanya operasi SAR yang dimulakan semalam juga gagal menjumpai mangsa dan akan diteruskan hari ini.




