BINTULU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala udang ditemui meninggal dunia hari ini.
Mayat David Gira, 49, dijumpai terapung pada jam 2.32 petang tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 1.8 kilometer ke hilir sungai dari lokasi mangsa meletakkan motosikal semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, mangsa dikhuatiri dibaham buaya semasa melakukan aktiviti menjala di tebing Sungai Nyigu kerana terdapat kesan gigitan pada badannya.
“Pengecaman mayat mangsa dibuat oleh ahli keluarganya yang mengesahkan bahawa itu adalah mangsa.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu, yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang Isnin, mangsa dilaporkan keluar menjala ikan di sungai berhampiran rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu.
Bagaimanapun, lelaki itu dilaporkan tidak pulang ke rumah sehingga laporan polis dibuat oleh isterinya.


