Lelaki hilang ketika pulang daripada memancing

BAU: Seorang lelaki dipercayai hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Bijuray, di sini hari ini.

Mangsa, Francis Nomi 28, dilaporkan gagal dikesan oleh rakannya ketika mereka berdua dalam perjalanan pulang selepas memancing di kawasan itu pada petang Rabu lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak yang mengesahkan kejadian pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 8.58 pagi selepas abang mangsa membuat laporan kepada pihak polis.

Menurut kenyataan itu, rakan mangsa berfikir bahawa mangsa telah pulang ke rumahnya selepas mendapati kelibat mangsa tiada di belakangnya ketika berjalan keluar dari tempat memancing dengan merentasi laluan hutan.

Susulan itu katanya operasi Carilamat (SAR) hari pertama terus dimulakan dengan mengaktifkan Pos Kawalan Bomba (PKB) di Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mogag.

MULA…Para petugas membuat penyelerasan sebelum memulakan operasi pencarian mangsa

“Pembahagian kawasan pencarian terbahagi kepada dua pasukan. Pasukan SAR pertama telah digerakkan pada jam 11 pagi, manakala pasukan SAR kedua telah bergerak dari PKB pada jam 1240 tengahari.

“Fokus pencarian adalah menuju ke lokasi checkpoint tempat memancing iaitu di Sungai Stat hulu yang dianggarkan jarak sehingga 15km yang melalui laluan hutan, gunung serta laluan berbukit,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut pihaknya dalam perancangan untuk mengatur gerak pasukan Anjing Pengesan (K9) (esok) ke lokasi setelah mendapat petunjuk daripada pasukan SAR.

Terdahulu operasi pencarian melibatkan seramai empat anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bau yang diketuai oleh Komander Operasi iaitu Ketua Balai Bomba Bau PKPgB Tawang Lingem.

Turut terlibat operasi seramai dua anggota polis, 13 anggota Angkatan Pertahanan Malaysia dan 17 penduduk kampung.

CARI…Laluan hutan dipercayai jalan mangsa dipercayai hilang selepas keluar dari tempat memancing bersama rakannya