MANA yang lebih penting, cinta atau wang? Hampir semua benda di dunia ini memerlukan wang.
Makan, pakaian, tempat tinggal, hiburan, pengangkutan dan banyak lagi.
Yang paling utama untuk mengukuhkan rumah tangga juga memerlukan wang.
Ada wanita yang bertuah berkahwin dengan lelaki kaya, manakala sesetengah wanita bertemu jodoh dengan lelaki tidak berharta.
Wang ialah pelengkap hidup dan jika ada sesiapa mengatakan mereka mampu hidup tanpa wang terutama yang tinggal di bandar besar mereka pembohong besar.
Belum pernah isteri kenyang dengan wajah suami yang kacak.
Tiada wanita yang mahu dikahwini lelaki yang tidak terjamin masa depan.
Kekacakan, ketampanan dan cinta membuak-buak tidak kekal tanpa wang.
Bunyinya saya seperti mata duitan tetapi ini hakikatnya, ini realiti kehidupan. Kelangsungan hidup kita masa kini bergantung kepada banyak mana wang yang kita ada.
Suami isteri dapat bercerai kerana wang, perasaan suka mampu bertukar benci kerana wang dan orang masuk penjara juga kerana wang.
Wang hanya sekeping kertas kecil mampu menentu bahagia kita.
Saya banyak kawan yang berkahwin dengan lelaki pelbagai kategori.
Kongsi Cerita Kehidupan Seharian
Daripada penjaga stor kompleks beli-belah sehingga eksekutif dan penjawat awam.
Saya suka mendengar mereka bercerita berkenaan kehidupan seharian, berkongsi resipi dan makanan dalam WhatsApp.
Daripada 10 cerita yang dikongsi, lapan tetap berkongsi berkisar wang dan pendapatan keluarga.
Cerita itu menyoķong pendapat lelaki berwang – bukan lelaki “beruang” – tetap dipilih sebagai calon pasangan.
Ada seorang daripada kami berpendapat, jika waktu dapat diundur kembali dia memilih lelaki yang dijodohkan oleh orang tuanya.
Perjalanan cerita kawan kami menarik – saya meminta izin untuk dikongsi dan saya tahu ketika ini dia membaca ruangan ini.
Dia dijodohkan oleh ibu bapa dengan lelaki Sarawak lulusan sekolah pondok dari Kelantan.
Kiranya seorang ustaz kerana bapanya iman surau. Tetapi dia menolak kerana dia sudah ada kekasih hati, supervisor di syarikat telco terkenal.
Setelah beberapa tahun berkahwin, syarikat telco berkenaan menghentikan pekerja secara beramai-ramai pada 2015 dengan pampasan yang sangat tinggi.
Salah seorangnya ialah suami kawan kami. Kehidupan selepas menerima wang pampasan masih stabil untuk setahun lebih kerana mereka cuma ada dua anak.
Tetapi, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini dia selalu merungut kos runcit dan barangan dapur yang sangat mahal.
Suaminya? Sekarang bekerja di kedai telco milik Cina dengan gaji separuh daripada yang dia pernah nikmati dulu.
Sehingga selepas PKP, kawan kami tiba-tiba melantun ayat pada 11.30 malam – patut orang tua selalu berpesan, lelaki tanpa wang tidak dapat diharap, katanya.
“Saya tidak mahu berterusan begini. Sentiasa mencatu makanan, sentiasa tiada wang mencukupi sehingga hujung bulan.
“Jika begini, cinta pun dapat pudar,” katanya berseloroh dengan emoji ketawa.
Ya, dia cuma bergurau tetapi ketika jam menghampiri tengah malam dalam kumpulan WhatsApp, bukan gurauan yang dapat diterima akal.
Ketika dia menulis mesej itu, pasti hatinya bergelora memikirkan kekangan ekonomi keluarga. Itu realiti, prestij dan keunggulan lelaki dinilai dari segi wang, daripada mata perempuan.
Kisah Imelda Marcos
Siapa yang tidak mahu menjadi seperti Imelda Marcos?
Gadis miskin daripada keluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang yang kemudiannya menjadi wanita pertama Filipina paling mewah dalam sejarah.
Jalannya menuju kemewahan juga mudah iaitu selepas bergelar Miss Manila, Imelda menjadi model ternama.
Wajahnya sentiasa menghiasi muka depan majalah dan membuatkan ramai jejaka di negara tersebut jatuh hati padanya.
Salah seorangnya ahli kongres muda bernama Ferdinand Emmanuel Edralin Marcos.
Tertawan dengan kecantikannya, membuatkan Marcos melamarnya hanya selepas 11 hari mereka bertemu.
Kehidupan miskinnya sudah berakhir sebaik sahaja dilamar oleh anak orang kaya Filipina.
Selepas mendirikan rumah tangga, Imelda sudah tidak menyanyi, malah bergiat aktif dalam bidang politik sehingga suaminya menjadi Presiden Filipina.
Imelda cukup berpengaruh dalam hidup Marcos.
Pada 1972, Marcos memansuhkan perlembagaan negara dan menubuhkan sistem diktator.
Bersama-sama isterinya, Marcos mendapat akses kepada belanjawan kerajaan. Imelda tidak dapat mengawal dirinya dan kemudiannya berubah menjadi seorang yang tersangat boros dalam berbelanja malah disenaraikan wanita pertama paling boros dalam sejarah.
Malah dikenali kerana memiliki lebih 3,000 pasang kasut, 1,500 beg tangan, 1,200 gaun rekaan pereka terkenal, 35 almari berisi kot bulu, lukisan dan perabot mewah serta memiliki akaun bank Switzerland dengan tunai RM1.5 bilion, jam tangan Bulgari bernilai AS$1 juta.
Daripada gadis miskin, Imelda melangsaikan impiannya untuk hidup mewah apabila bernikah dengan lelaki berpengaruh dan kaya.
Sampai tahap, Imelda dapat mengarah pesawat peribadinya berpatah balik ke New York ketika dalam perjalanan menuju Rom hanya kerana beliau terlupa membeli sekeping keju!
Imelda membeli semua yang diimpikannya ketika masih kecil walaupun cuba melupakan zaman kanak-kanaknya yang miskin.
Malah Imelda pernah mengharamkan buku yang ditulis oleh wartawan Filipina yang mengutip kisah kemiskinan zaman kanak-kanaknya.
Pada 1986, berakhir kisah realiti Cinderella ini. Kisahnya cukup menyedarkan, apabila si miskin menjadi kaya kerana berjodoh dengan lelaki berada, jangan sesekali boros seperti Imelda.
Namun kisahnya menyokong pendapat, betapa lelaki berwang mampu mengubah kehidupan perempuan.
Rajin Berusaha
Berkahwin dengan lelaki kaya satu bonus, kacak juga dividen tambahan.
Namun harus diingat, kaya dan kacak hanya sekadar bonus dan dividen, bukan talian hayat.
Oleh itu, lelaki itu harus disertakan dengan rajin berusaha dan bekerja.
Tahukah kalian, jika kami ada 10 anak perempuan, kesemuanya kami menetapkan kriteria rajin cari duit sebagai syarat teratas.
Siapa mahu bermenantu lelaki malas, saya dan semua ibu di dunia ini tidak mahu!
Dalam keadaan dunia hari ini yang menuntut wang, kita kena tolak tanggapan mata duitan.
Garam secubit pun dikira berharga apa lagi kos makan minum sesi keluarga.
Sebab itu, orang tua dulu berpesan, cari calon suami yang pertama, bukan pemalas kerana jika dia rajin dan pandai cari duit mengubah kehidupan keluarga.
Kedua, bukan kaki mabuk dan suka berjudi. Inilah pantang seorang lelaki.
Apabila terjebak dengan judi, pemabuk gaji RM20,000 sebulan pun tidak sampai 25 hari.
Justeru, sebelum membenarkan anak perempuan kita bernikah, pastikan kita bermenantu lelaki rajin mengubah cara hidup daripada miskin kepada kaya, bukan lelaki statik dan pemalas.



