KUCHING: Mahkamah Tinggi hari ini, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan sembilan bulan terhadap seorang lelaki warga Indonesia, kerana mengangkut masuk lapan orang migran dari negaranya masuk ke Malaysia, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Zaleha Mohd Yusuf Pan menjatuhkan hukuman terhadap Joni Dulhadi, 34, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Dia didakwa mengangkut masuk lapan orang migran menggunakan kenderaan jenis Kenderaan Pelbagai Guna MPV di tepi kedai runcit, Jalan Batu Kawa, sekitar jam 9.01 malam, 22 Julai 2023.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, sempena Op Kenal Lada, pengadu merupakan pegawai polis mengetuai pasukannya telah menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan.
Semasa pemeriksaan, mendapati bahawa tertuduh membawa migran seramai lapan orang iaitu tujuh lelaki dan seorang perempuan yang dipercayai cuba dibawa ke suatu lokasi yang tidak diketahui.
Hasil siasatan mendedahkan dua orang migran tidak memiliki sebarang pergerakan keluar masuk ke Malaysia.
Manakala, enam orang lagi mempunyai passport tetapi rekod pergerakan mereka menunjukkan telah tinggal lebih masa di Malaysia.
Siasatan lanjut mendedahkan tertuduh terlibat dalam pengangkutan Migran yang di seludup.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly. Manakala, tertuduh diwakili Peguam Ranbir Singh.

