Lelaki Indonesia ditahan terlibat dadah di Bintulu

BINTULU: Seorang lelaki warga Indonesia terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan di Taman Sri Dagang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata suspek ditahan hasil serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Bintulu kira-kira jam 12 tengah hari di hadapan Whaf Penambang.

Menurut beliau, suspek, 23 tahun cuba bertindak agresif untuk melepaskan diri namun gagal setelah badannya telah pun ditahan oleh beberapa anggota polis yang membuat serbuan.

Polis seterusnya membuat pemeriksaan mendapati suspek membawa 7.2 gram dadah jenis syabu bernilai RM1,500 yang terletak di pakaiannya.

“Hasil pemeriksaan menjumpai satu peket plastik kecil berisi ketulan kristal (syabu) dan dua tiub straw di dalam jaket bewarna hitam yang dipakai oleh suspek.

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah Methamphetamine,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasnir berkata, suspek kini berada di lokap Balai Polis Bintulu dalam proses permohonan reman.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan dikenakan tidak melebihi sembilan sebatan.

Suara Sarawak