Lelaki maut akibat kemalangan kendiri di Mukah

MUKAH: Seorang lelaki berusia 40 tahun dari Rumah Munang, Sungai Mateding di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah terlibat dalam satu kemalangan kendiri di kilometer 22 Jalan Mukah- Balingian pada petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Jimmy Panyau, kejadian dilaporkan sekitar jam 7.20 petang itu, berlaku sewaktu mangsa memandu kereta jenis pancuan empat roda Mazda seorang diri dari arah Mateding menuju ke Bandar Mukah.

“Dalam pemanduan tersebut mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu masuk ke kawasan parit.

“Akibat dari kemalangan itu, mangsa terpelanting keluar dari kenderaan dan mengalami cedera parah di kepala,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya mangsa Tawisili Munang 40 telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Mukah.

“Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Daerah Mukah untuk dibedah siasat dan kes di siasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

HILANG KAWALAN … Mangsa terbabas ke tepi jalan dan terpelanitng dari kereta maut di tempat kejadian.