BAU: Seorang lelaki tempatan maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 18.5 Jalan Bau-Serikin berhampiran Kampung Pinomu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Dr Daram Ruer berkata, kejadian sekitar jam 6.10 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditemui dalam keadaan terbaring di tengah jalan.
“Pemandu sebuah kereta Toyota Yaris yang melalui jalan berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berusia 34 tahun terbabit.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Hospital Bau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DSP Dr Daram berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis katanya, turut meminta saksi atau orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Dengan sikap prihatin, kita dapat mengurangkan risiko kemalangan dan menjaga kesejahteraan semua pihak,” jelasnya.






