SARIKEI: Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat dua sebuah bangunan di Jalan Whart di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sarikei Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, mayat lelaki itu ditemui orang ramai dalam keadaan terlentang tidak sedarkan diri dan berpakaian lengkap kira-kira jam 9.50 pagi.
“Pihak Hospital Sarikei mengesahkan individu tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian terbabit.
“Polis membuka satu kertas siasatan dan mengklafikasikan kes ini sebagai mati mengejut.
“Kita masih melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini,” katanya.

