KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 13 Lebuhraya Cheras-Kajang, malam tadi ketika mengalihkan tanda amaran selepas menukar tayar keretanya yang pancit.
Mangsa berusia 46 tahun itu memandu Toyota Innova bersama lima penumpang sebelum berhenti di bahu jalan untuk menukar tayar. Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam.
Selepas selesai menukar tayar, mangsa mengalihkan sebuah baldi yang digunakan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya. Ketika itu, sebuah Toyota Innova berwarna merah merempuh mangsa sebelum pemandunya melarikan diri.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan. Polis turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan mematuhi peraturan lalu lintas seperti dilapor Bernama.


