MIRI: Seorang lelaki berusia 59 tahun maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas dalam kejadian kemalangan di Jalan Pujut Padang Kerbau berhampiran Sekolah Kebangsaan Agama Miri, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah bulatan Saberkas menuju ke Jalan Pujut Padang Kerbau.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan.
“Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dari Hospital Miri pada 12.13 tengah hari.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut hanya melibatkan motosikal yang ditunggang mangsa dan tidak membabitkan kenderaan lain.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan motosikal berkenaan hilang kawalan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizul Ab Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479.
“Maklumat juga boleh disalurkan di balai polis berhampiran,” katanya lagi.



