KUCHING: Seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar pokok di Jalan Usaha Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 11 malam tadi, ketika mangsa yang berusia 20-an dari arah Bulatan Usaha Jaya menuju ke kawasan perindustrian.
“Motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok di bahu sebelah kiri jalan.
“Mangsa dibawa dengan ambulans ke Hospital Umum Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada 1.07 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Rashdan Rosli di talian 013-6204758 atau 082-259900.

