LIMBANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Gumaya, Sungai Pandaruan masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu walaupun memasuki hari kelima pencarian.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang berkata pencarian hari ini diperluas sejauh 10 kilometer di sepanjang Sungai Pandaruan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

“Pencarian hari ini tertumpu di sepanjang Sungai Pandaruan.
“Bagaimanapun, setakat 10.30 pagi tadi, pasukan SAR masih belum menemukan sebarang petunjuk berkaitan mangsa,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, operasi melibatkan dua bot penyelamat, masing-masing dikendalikan oleh pasukan dari BBP Limbang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Mangsa yang dikenali Juni Dullah, 52, seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) mental, dilaporkan hilang sejak 10 Mac lalu.
Kehilangannya disedari oleh anak saudara sebelum ahli keluarga dan penduduk kampung memulakan pencarian, namun gagal menemui sebarang petunjuk.
Laporan kehilangan mangsa diterima daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang pada 17 Mac lalu sebelum operasi SAR dilancarkan pada 1.10 petang, hari yang sama.
Difahamkan saksi memaklumkan kali terakhir melihat mangsa bergerak masuk ke kawasan hutan berhampiran sebelum dia dilaporkan hilang.

