BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai memandu secara melulu dan melanggar beberapa kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan.
Suspek berusia 29 tahun itu ditahan orang awam di Lebuhraya Butterworth-Kulim sebelum diserahkan kepada polis.
Menurut Bernama, pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah disyaki methamphetamine dan ketamin, manakala ujian air kencing menunjukkan dia positif dadah.
Polis turut mendapati lelaki itu mempunyai 15 rekod kesalahan dadah dan dua rekod jenayah.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Pengangkutan Jalan 1987.



