KUCHING: Seorang lelaki yang menyebar dan mempromosikan kepada pengguna media sosial bagi menyertai kumpulan kongsi gelap ‘Geng 04’ di akaun TikTok, terima padah apabila dijatuhkan hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Muhammad Ammar Abdullah, 26, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana tidak mempunyai kebenaran yang sah memiliki gambaran sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan memuat naik video di akaun TikTok dengan nama @brianniebah dalam telefon pintarnya jenama Honor.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah premis makan terbuka di Batu Kawa, sekitar 5.20 petang, 3 Mac lepas.
Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, sekitar 2.30 petang, 3 Mac lalu, pengadu merupakan pegawai polis berpangkat Inspektor berada di pejabatnya di IPK Sarawak, menonton satu video dalam satu akaun aplikasi Tiktok milik seorang lelaki menggunakan identiti @brianniebah – sedang menyebar dan mempromosikan identiti kumpulan kongsi gelap ‘Geng 04’.
Tangkapan dilakukan terhadap tertuduh untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendedahkan bahawa tertuduh mengaku akaun TikTok tersebut miliknya dan mengetahui tentang kandungan video yang dimuat naik dirinya sendiri dengan simbol kumpulan Geng 04.
Selain itu, dia juga mengaku menyertai kumpulan kongsi gelap Da Ge Yek beberapa tahun yang lalu tetapi tidak aktif
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




