ARTIKEL

DSP Tansli Mering

Lelaki Rugi RM10,000 Terpedaya Scam Menyamar Sebagai Kenalan Untuk Pinjam Wang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Menyangka menerima mesej WhatsApp daripada kenalan yang mahu meminjam wang, seorang lelaki berusia 30-an kerugian RM10,000 selepas terpedaya dengan penipuan menyamar sebagai kenalan.

Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, mangsa yang berasal dari Semenanjung Malaysia menerima mesej daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai rakannya sebelum meminta bantuan kewangan.

“Tanpa mengesyaki dirinya menjadi mangsa penipuan, mangsa kemudian membuat transaksi berjumlah RM10,000 ke akaun bank yang diberikan suspek pada tahun lalu.

“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 20-an di Bintangor kira-kira 1.33 petang, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tansli, tangkapan itu dibuat sebagai bantuan kepada pihak polis di Semenanjung Malaysia berhubung kes penipuan berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai keldai akaun bagi menerima wang yang dipindahkan mangsa.

“Semakan turut mendapati suspek dikesan mempunyai kaitan dengan laporan polis yang dibuat di Johor Bahru Selatan dan Pulau Pinang.

“Semakan rekod lampau juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, selain sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai permintaan wang yang diterima menerusi WhatsApp, walaupun mesej berkenaan kelihatan datang daripada individu yang dikenali.

“Sebarang permintaan untuk memindahkan wang perlu disahkan terlebih dahulu dengan menghubungi individu terbabit menerusi panggilan telefon atau saluran komunikasi lain.

“Mangsa penipuan dalam talian juga dinasihatkan supaya segera menghubungi talian 997,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU