KUCHING: Seorang lelaki tempatan kerugian RM287,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan menerusi iklan di Facebook, sekali gus membuktikan media sosial masih menjadi medium utama sindiket penipuan memperdaya mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung kes penipuan pelaburan saham secara dalam talian yang membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun.
“Siasatan awal mendapati mangsa melihat iklan pelaburan berkenaan menerusi aplikasi Facebook sekitar Mac lalu ketika berada di kediamannya,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, mangsa kemudian diyakinkan oleh suspek bahawa pelaburan saham yang dikenali sebagai UOBS mampu memberikan pulangan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
Percaya dengan tawaran tersebut kata Alexson, mangsa mula membuat pembayaran bermula April hingga Mei lalu.
“Sepanjang tempoh itu, mangsa melakukan 11 transaksi pembayaran ke enam akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek dengan jumlah keseluruhan mencecah RM287,000,” katanya.
Alexson berkata, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa gagal menghubungi suspek selain tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
Beliau berkata, menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, lelaki terbabit tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan curang mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan yang diiklankan di media sosial tanpa membuat semakan terlebih dahulu terhadap syarikat atau individu yang menawarkan pelaburan berkenaan.
Beliau berkata, orang ramai juga disaran membuat semakan melalui aplikasi Investment Checker yang disediakan oleh pihak berkuasa, aplikasi Check Scammers CCID atau portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Mana-mana individu yang baru menjadi mangsa penipuan dan telah membuat pemindahan wang ke akaun suspek perlu segera menghubungi talian 997 bagi meningkatkan peluang menyekat aliran wang tersebut,” katanya.

