KUCHING: Seorang lelaki yang mengalami sesak nafas ketika mendaki Gunung Singai berjaya diturunkan dengan selamat menerusi bantuan anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan paramedik di sini hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.05 pagi bagi membantu mangsa berusia 57 tahun itu.
“Meskipun mengalami sesak nafas, mangsa masih berupaya untuk berjalan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan operasi kemudian mengiringi mangsa turun dari gunung,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, mangsa telah diserahkan kepada pasukan paramedik untuk rawatan susulan sejurus tiba di kaki gunung.



