Lelaki tempatan diberkas disyaki miliki dadah di Kuching

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun diberkas bersama sembilan peket plastik kecil berisi dadah jenis Syabu di dalam genggaman tangan kirinya di hadapan sebuah rumah Taman Alamanda Malihah, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, tangkapan melibatkan serbuan daripada sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Dadah (BSJND) di lokasi sekitar pukul 6 petang.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati terdapat satu peket plastik besar berada di genggaman tangan kirinya.

“Pemeriksaan terhadap plastik tersebut mendapati terdapat sembilan peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 5.25 gram dan suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine melalui ujian saringan air kencing,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidil menambah, suspek turut mengaku terlibat dalam aktiviti salah guna dadah jenis syabu sejak tiga tahun yang lalu.

Dedahnya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pernah terlibat dalam dua kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi motosikal) dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera).

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) 1952.

Susulan itu, katanya, suspek telah ditangkap untuk direman bagi siasatan lanjut dijalankan.

Suara Sarawak