KUCHING: Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana cuba membunuh dan menghalang tugas penjawat awam dalam satu kejadian polis melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang cuba melanggar dua anggota polis di Jalan Green, 29 Mac lalu.
Mark Lionel Micheal, 41, merupakan pemandu kenderaan itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di dua Mahkamah Majistret berasingan.
Mengikut dua pertuduhan, Dia didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dua anggota polis yang menjalankan tugas dengan cara melanggar menggunakan pacuan empat roda semasa melarikan diri daripada sekatan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan selain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 26 Mei depan.
Manakala, pertuduhan ketiga, dia bersama-sama dua lagi rakan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, kerana menghalang tugas penjawat awam menjalankan tugas sebagai anggota polis.
Majistret Ling Hui Chuan membenarkan tertuduh dibebas dengan jaminan RM2,000 beserta seorang penjamin tempatan selain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Mei depan.
Kesemua kesalahan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukannya di sebuah stesen bas di Jalan Green, sekitar jam 3.20 pagi, 29 Mac lepas.
Difahamkan, ketiga-tiga tertuduh positif dadah semasa saringan awal air kencing.
Selain itu, tertuduh kedua (Rogers Diana) mempunyai dua rekod lampau melibatkan penyalahgunaan dadah dan memiliki dadah. Manakala Mark Lionel mempunyai dua rekod lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin, manakala tertuduh diwakili Peguam Andrew Winston Kaya.


