KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara lima bulan terhadap seorang lelaki tempatan kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah tahun lalu.
Azmeer Firdaus Abdul Rahim, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama kerana terlibat dalam pengambilan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Azmeer melakukan kesalahan itu semasa di tahan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID) IPD Kuching sekitar jam 2.45 pagi pada 12 Disember 2023.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan diletakkan di bawah pengawasan serta-merta untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun.
Berdasarkan fakta kes, semasa ditahan di IPD Kuching, ujian saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.
Kemudian sampel urin dibawa ke Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak dan laporan mengesahkan tertuduh positif dadah Amphetamine dan Methamphetamine.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala Azmeer tidak diwakili peguam.

