KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana memiliki dadah jenis ganja dan syabu.
Tertuduh berusia 37 tahun, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama, kerana memiliki 0.43 gram methamphetamine.
Manakala, pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dibacakan di bawah akta yang sama, kerana memiliki 1.44 gram dadah jenis ganja.
Dia didakwa memiliki dua bahan terlarang itu di tepi jalan Jalan Datuk Temenggong Tan Meng Chong, sekitar 12.30 tengah malam, 14 Mei lalu.
Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan untuk pertuduhan pindaan pertama. Manakala, pertuduhan kedua, dia dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa dari tarikh reman pada 15 Mei lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pihak polis menahan seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal di Jalan Datuk Temenggong Tan Meng Chong kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti dadah.
Semasa pemeriksaan, tertuduh sendiri menyerahkan beg silangnya kepada pihak polis.
Pemeriksaan lanjut menjumpai satu paket berisi ketulan kristal dan satu paket berisi daun kering yang dipercayai dadah jenis syabu dan ganja.
Bahan tersebut dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis seterusnya laporan mengesahkan ia dadah amphetamine seberat 0.43 gram dan ganja seberat 1.44 gram.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afiq Safly Nor Kazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



