ARTIKEL

Gambar hiasan

Lelaki Tempatan Dipenjara 10 Tahun, 10 Sebatan Miliki Dadah 35.53 Gram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah memiliki 35.53 gram dadah jenis syabu, tiga tahun lalu.

Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman demikian terhadap individu berusia 37 tahun tersebut pada akhir perbicaraan penuh hari ini.

Noorhisham memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan tersebut.

“Setelah meneliti dan mempertimbangkan rayuan mitigasi oleh peguam bela tertuduh, dan hujahan pemberatan oleh pihak pendakwaan, kepentingan awam, fakta kes dan hukuman semasa bagi kesalahan yang sama.

“Mahkamah berpuas hati bahawa hukuman yang wajar dikenakan terhadap tertuduh ialah 10 tahun penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 25 Mac 2023 serta 10 kali sebatan,” katanya dalam menyampaikan keputusan hari ini.

Terdahulu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Seramai enam orang saksi dipanggil daripada pihak pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid, manakala tertuduh diwakili Peguam Voon Lee Shan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU