KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, kerana pecah masuk rumah dan mencuri seunit alat elektronik jenama Apple.
Alexander Maxwell mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Berdasarkan pertuduhan, Alexander didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk ke kawasan rumah lalu mencuri AirPod milik seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.
Seksyen terbabit memperuntukan hukuman hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Rubber, 7 Mei lepas.
Menurut fakta kes, pengadu lelaki membuat laporan polis selepas mendapati bahagian keretanya berselerak dan AirPod miliknya hilang.
Anggaran kerugian yang dialami pengadu sekitar RM1,200.
Laporan polis dilakukan untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.
Hasil siasatan mendedahkan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) menunjukan aksi Alexander telah memasuki kawasan rumah pengadu sebelum mencuri AirPod yang disimpan di dalam kereta pengadu yang tidak berkunci.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

