KUCHING: Seorang lelaki tempatan maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal dengan kereta di Jalan Camar dekat sini kira-kira 5.20 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Petra Jaya menuju ke Jalan Kong Ping sedang membelok ke kanan di simpang sebelum dilanggar motosikal mangsa yang sedang bergerak lurus.
“Penunggang motosikal berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alexson menambah, pemandu kereta yang merupakan seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
“Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh dikenakan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Muhammad Amirul Azami Ahmad Rasol di talian 016-8593994 / 082-259900 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

