KANOWIT: Sebuah kereta sedan jenis Honda City berwarna kelabu yang dipandu seorang lelaki terbabas ke dalam parit jalan menuju ke Kapit dalam satu kes kemalangan kendiri tengah malam tadi.
Mangsa yang berusia 28 tahun dikatakan sedang memandu menuju ke arah Kapit.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, PPgB Arrahaman bin Chik, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 12.17 tengah malam.
“Selepas menerima panggilan kecemasan tersebut, enam orang anggota bomba dari BBP Kanowit diketuai PBK II Norman Matu telah bergegas ke tempat kejadian.
“Sampainya di lokasi kemalangan, pihak bomba terus bertindak dengan melakukan operasi menyelamatkan mangsa,” katanya.
Ujarnya lagi, ketika operasi menyelamat, mangsa masih dalam kereta tersebut dan dalam keadaan sedar.
“Mangsa tersebut masih dalam kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan .
“Pihak bomba bertindak dan berjaya mengeluarkan mangsa dari dalam kereta seterusnya menyerahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut,” jelas Arrahaman.

