ARTIKEL

Gambar hiasan

Lelaki warga asing terima padah kendali mesin judi guna telefon bimbit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mengendalikan mesin judi menggunakan sebuah telefon bimbit.

Antoni, 31, berasal dari Riau, Indonesia, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mengendalikan sebuah mesin judi atas talian menggunakan telefon bimbit.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Matang Jaya, sekitar jam 2.40 petang, 16 November lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan telah membuat serbuan sempena Ops Dadu, di sebuah premis di Matang Jaya mengesyaki terdapat aktiviti judi dalam talian menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.

Seorang lelaki yang sedang duduk dalam premis tersebut kemudian turut diperiksa.

Hasil pemeriksaan pada telefon bimbit tertuduh terdapat unsur-unsur judi atas talian.

Barang-barang kes turut dirampas seperti seunit telefon bimbit, sekeping kertas bertulis ID dan kata laluan judi serta wang tunai berjumlah RM81.00.

Hasil siasatan dan laporan pakar judi mengesahkan telefon pintar yang dirampas milik tertuduh digunakan sebagai mesin judi, seperti yang dinyatakan di bawah tafsiran Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU