BELAGA : Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari daun nipah di Sungai Menamang sejak Selasa, selamat pulang ke rumahnya pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (PGOB) berkata, Tukong Kanye, 73, pergi ke dalam hutan yang terletak seberang sungai itu seorang diri pada jam 7 pagi namun, tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang semalam.
Bimbang dengan keselamatan warga emas itu katanya, menantu mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Belaga.
“Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Belaga bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi pencarian.
“Kita juga dibantu sepasukan anggota Polis dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di lokasi, lelaki terbabit ditemui selamat selepas pulang sendiri ke rumahnya pada jam 8.00 pagi tadi.

