BINTULU: Seorang eksekutif syarikat tempatan berusia lingkungan 60-an berputih mata selepas ditipu lebih RM600,000 dalam satu skim pelaburan mata wang tidak wujud baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, lelaki warga emas yang tinggal di Bintulu itu mula diperdaya pada awal Mac 2025, ketika melayari internet di kediamannya.
“Mangsa tertarik dengan tawaran pelaburan mata wang kononnya milik syarikat kewangan terkenal, J.P. Morgan, yang dipromosikan melalui pautan https://www.jpm-vip1.com/vip.
“Selepas menekan pautan berkenaan, mangsa dihubungi oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menyamar sebagai wakil rasmi J.P. Morgan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Mancha, suspek kemudian mengarahkan mangsa memuat turun sebuah aplikasi lain melalui pautan berbeza https://www.jpm-vip3.com, kononnya untuk memulakan pelaburan.
Terpedaya dengan helah meyakinkan suspek, mangsa melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan dan jumlah keseluruhan kerugian mencecah lebih RM600,000, katanya.
“Penipuan hanya terbongkar apabila suspek terus mendesak mangsa membuat bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan ‘keuntungan’ yang dijanjikan.
“Sehingga laporan polis dibuat, mangsa hanya berjaya mengeluarkan semula RM441 sahaja daripada pelaburan palsu itu.
“Justeru, orang awam diminta agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk pelaburan yang dipromosikan melalui media sosial atau laman sesawang tidak rasmi.
“Semakan latar belakang syarikat dan kelulusan operasi perlu dilakukan terlebih dahulu menerusi laman web rasmi Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (www.sc.com.my),” katanya.
Orang ramai juga boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 atau Suruhanjaya Sekuriti di 03-6204 8999 untuk sebarang pengesahan lanjut.
Bagi mangsa jenayah siber seperti scam pelaburan, penipuan pinjaman tidak wujud, love scam dan phone scam, Mancha menggesa mereka segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

