KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki wang kertas palsu berjumlah kira-kira RM138,920 dengan niat menggunakannya sebagai wang tulen.
Hendra, 32, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid pada sebutan semula pengurusan kes tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sejumlah wang kertas palsu terdiri daripada 1,200 keping RM100, 240 keping RM50, 296 keping RM20 dan 100 keping RM10.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Tebedu-Serian sekitar jam 4.45 petang pada 8 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan pegawai polis mengetuai sepasukan anggota telah menahan seorang lelaki tempatan (tertuduh pertama) dan seorang lelaki warga Indonesia (tertuduh kedua) menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan menghala ke sempadan Malaysia-Indonesia.
Hasil soal siasat mendapati kedua-duanya memaklumkan mereka hendak berjumpa seorang rakan bernama Hendra, tertuduh keempat, yang berada dalam kawasan hutan berhampiran.
Mereka kemudian membawa polis ke lokasi tersebut sebelum menemui Hendra sedang duduk sambil memegang sebuah beg berwarna biru gelap dan merah.
Pemeriksaan mendapati beg itu mengandungi wang kertas Ringgit Malaysia pelbagai nilai yang disyaki palsu. Ketiga-tiga lelaki termasuk seorang wanita kemudian ditahan bagi membantu siasatan.
Siasatan mendedahkan kesemuanya memiliki wang palsu bernilai kira-kira RM138,920.
Pada 15 Oktober lalu, seorang lelaki dan seorang wanita warga asing turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun masing-masing oleh mahkamah sama atas kesalahan berkaitan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, tertuduh pertama, Abg Mohammad Firdaus, 29, warga tempatan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Dia yang bekerja sebagai penghantar barang dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan yang beralamat dan bekerja tetap di Sarawak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar.
Tertuduh tidak diwakili peguam.


