MUKAH: Seorang lelaki warganegara asing yang disyaki terlibat dalam kes curi motosikal berjaya ditangkap oleh pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek, 38, merupakan pekerja ladang ditangkap pada jam 4 petang.
“Pada awalnya, suspek dilihat menunggang sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran di hadapan pintu masuk kawasan ladang di Mukah.
“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal yang ditunggang telah dilaporkan hilang di daerah Sibu pada 16 Februari lalu.
“Ekoran daripada tangkapan itu, dua buah motosikal yang dilaporkan hilang di Kampung Sungai Alo pada 26 Februari dan kawasan rumah panjang Selangau pada 27 Februari lalu berjaya ditemui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ujarnya, kedua-dua motosikal tersebut diletakkan di hadapan rumah pekerja ladang tersebut.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 4 Mac depan bagi melengkapkan siasatan .
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tempoh tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” jelasnya.
Tambahnya, dengan tangkapan ke atas suspek dan penemuan motosikal tersebut, IPD Mukah telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes curi motosikal yang dilaporkan sebelum ini.
Justeru, operasi untuk membanteras kegiatan curi kenderaan akan dijalankan secara berterusan.

