KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 disifatkan sebagai penanda aras penting dalam sejarah pembangunan agromakanan negeri, khususnya dalam usaha memperkukuh agenda keselamatan makanan Sarawak dan negara.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, langkah kerajaan negeri menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak membuktikan kesungguhan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengurangkan kebergantungan beras import.
“Selama ini kita sering mendengar ungkapan beras ialah nyawa rakyat. Apabila Sarawak tampil dengan pendekatan lebih agresif dan tersusun dalam pembangunan industri padi dan beras, ini menunjukkan kerajaan negeri benar-benar serius.
“Lembaga itu bakal menjadi badan khusus yang mempunyai kuasa serta fungsi jelas dalam merancang, menyelaras dan memperkukuh pembangunan industri secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya ketika membahaskan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu akibat perubahan iklim, konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan makanan global, penubuhan lembaga tersebut merupakan langkah tepat dan berpandangan jauh.
“Pewartaan tujuh kawasan tanah sebagai kawasan lokasi penanaman padi diyakini mampu menjadi pemangkin utama bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras Sarawak dan negara.
“Sementara itu, beberapa kawasan lain yang potensi besar wajar juga dipertimbangkan dalam pembangunan masa depan termasuk dalam DUN Kalaka seperti Kampung Kaba dan Sungai Nyiar di Roban.
“Kampung Kaba sahaja mempunyai lebih 30 hektar kawasan yang bakal menjadi perintis projek pengeluaran padi dan beras berskala besar menggunakan teknologi moden di Daerah Saratok,.
“Dengan peruntukan yang besar daripada pelbagai agensi untuk tujuan tersebut, ia diyakini mampu merealisasikan hasrat menjadikan kawasan ini sebagai pertanian padi moden dengan sasaran hasil tuaian sehingga lima kali dalam tempoh dua tahun,” jelasnya.
Dalam pada itu ujarnya, pembangunan kawasan Sungai Nyiar di Roban yang pernah menjadi pusat utama penanaman padi di Kalaka juga perlu dihidupkan semula menerusi konsep taman agro dan pertanian moden.
“Kita mahu melihat Sarawak muncul sebagai kuasa baharu pengeluaran beras negara dan untuk itu kita perlu berani melakukan perubahan besar mulai sekarang dengan memanfaatkan tanah yang luas, sumber air mencukupi serta ekosistem pertanian sesuai.
“Kawasan delta, tanah rendah dan sawah tradisional yang sebelum ini kurang dibangunkan juga boleh dijadikan sebagai jelapang padi moden secara lebih tersusun.
“Permintaan beras tempatan seperti beras adan Bario dan varieti tradisional lain turut semakin meningkat kerana mempunyai nilai premium dan kualiti tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan teknologi moden seperti dron, sistem pengairan pintar, mekanisasi, teknologi satelit, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan automasi pertanian perlu diperluas.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh penyelidikan dan pembangunan menerusi kerjasama kerajaan, universiti dan institusi penyelidikan bagi menghasilkan benih padi lebih tahan penyakit dan cuaca selain mempunyai hasil lebih tinggi.



