KUCHING: Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak dilihat mampu mengubah nasib petani yang sekian lama berdepan kos pengeluaran tinggi, kekurangan infrastruktur serta pendapatan tidak menentu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, ramai petani ketika ini masih bergelut dengan pelbagai cabaran termasuk akses terhad kepada benih berkualiti, kenaikan kos baja, kekurangan mekanisasi, sistem pengairan tidak mencukupi serta akses pasaran yang terhad.
Justeru katanya menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026, Kerajaan Sarawak dapat menyelaras bantuan, subsidi, pembangunan infrastruktur, latihan dan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan petani.
“Ini secara langsung dapat memperkasakan komuniti luar bandar dan pada masa sama menarik minat generasi muda untuk menceburi sektor pertanian yang lebih moden dan mampan,” katanya ketika membahaskan RUU itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, penubuhan lembaga itu juga merupakan langkah strategik dan tepat pada masanya dalam usaha memperkukuh keselamatan makanan Sarawak serta mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan beras import.
Katanya, ketidaktentuan global termasuk krisis makanan, perubahan iklim, ketegangan geopolitik, peningkatan kos pengangkutan dan sekatan eksport oleh negara pengeluar membuktikan Sarawak tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada sumber luar bagi menjamin bekalan makanan rakyat.
“Beras bukan sekadar komoditi biasa, tetapi makanan ruji majoriti rakyat yang berkait rapat dengan budaya, kehidupan harian dan kelangsungan komuniti luar bandar di seluruh Sarawak.
“Justeru, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak adalah langkah berani kerajaan negeri untuk memperkukuh kawalan terhadap pengeluaran, pengedaran, perancangan dan kelestarian bekalan beras jangka panjang,” katanya lagi.
Rolland Duat berkata, Sarawak mempunyai potensi besar meningkatkan tahap sara diri beras melalui peluasan kawasan penanaman padi, penggunaan benih hasil tinggi, teknologi pertanian pintar, pengurusan air lebih cekap serta penyelidikan dan pembangunan.
Tambah beliau, dengan perancangan dan pelaburan yang tepat, Sarawak berpotensi muncul sebagai antara wilayah pengeluar beras utama di Malaysia sekali gus mengukuhkan daya tahan ekonomi negeri.
Katanya, lembaga itu turut berperanan sebagai pemangkin transformasi sektor pertanian melalui penggunaan teknologi seperti dron, sistem pemantauan digital, mekanisasi penuaian dan amalan pertanian tahan perubahan iklim.
“Apabila industri padi dan beras menjadi lebih kukuh, kesannya akan turut dirasai sektor lain termasuk logistik, pemprosesan, pembungkusan, pengangkutan dan keusahawanan agro.
“Ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar serta membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan komuniti penanam padi,” tambahnya.

