ARTIKEL

Hasbi merakam gambar bersama tetamu kenamaan lain yang hadir dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri LPB 2025 di perkarangan Menara Kidurong malam tadi.

Lembaga Pelabuhan Bintulu sumbang pembangunan logistik, maritim Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, menzahirkan keyakinan bahawa Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) kini berada pada kedudukan strategik untuk menyumbang lebih besar kepada pembangunan sektor logistik dan maritim Sarawak, selaras dengan peralihannya daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.

Berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri LPB 2025 di perkarangan Menara Kidurong malam tadi, Hasbi menyifatkan peralihan tersebut sebagai titik perubahan penting bagi LPB dan pembangunan pelabuhan secara keseluruhannya di Sarawak.

“Potensi sebenar Pelabuhan Bintulu masih luas untuk diterokai. Dengan pengalaman, kepakaran, dan rangkaian sedia ada, LPB mampu memainkan peranan lebih besar dalam menyokong agenda pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Menurut beliau, selama lebih empat dekad di bawah Kerajaan Persekutuan, LPB telah membuktikan keupayaannya sebagai pelabuhan utama negara, terutamanya dalam sektor gas cecair asli (LNG), kontena, dan kargo am.

Peningkatan dari segi infrastruktur, kecekapan operasi, dan integrasi sistem digital turut menjadikan LPB sebagai rujukan nasional dalam sektor pelabuhan, tambahnya.

Beliau turut memuji usaha berterusan LPB dalam memastikan keselamatan pelabuhan serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik yang dipercayai di rantau ini.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan pelaksanaan dasar pembangunan berjalan dengan lancar dan memberi impak terus kepada rakyat.

“Kita tidak boleh bekerja secara berseorangan. Sebaliknya, perlu ada satu penyelarasan mantap, komunikasi terbuka, dan komitmen bersama antara semua agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri,” katanya.

Pada masa sama, Hasbi menyeru agar hubungan kerjasama yang sedia terjalin terus diperkukuhkan demi menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai destinasi pelaburan yang diyakini pelabur dalam dan luar negara.

ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu, Datuk Haidar Khan Asghar Khan, dan Pengurus Besar LPB, Mizool Amir Mat Drus, antara yang hadir.

Hasbi merakam gambar bersama anak-anak yatim dari Kompleks Peryatim Daud Abdul Rahman.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU