KUCHING: Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan pengendalian sebanyak 10.42 juta tan kargo dan 325,000 TEUs sepanjang 2025, peningkatan 6.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengerusi KPA, Azizul Annuar Adenan dalam ucapannya berkata, KPA juga akan membangunkan kawasan simpanan kontena baharu di Terminal Senari pada 2026 dengan kapasiti sehingga 200,000 TEUs setahun.
“KPA juga akan melaksanakan projek lanjutan dermaga sepanjang 220 meter dengan ‘mooring dolphin’ sepanjang 30 meter di Terminal Senari bagi tempoh 2026 hingga 2028,”
“Projek tersebut bertujuan menampung kapal bersaiz tinggi melebihi 26 meter paras udara yang tidak lagi dapat berlabuh di Terminal Pending selepas siapnya Jambatan Samarahan–Sejingkat dengan pelepasan bawah jambatan setinggi 26 meter,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sijil Tahun 2025 yang berlangsung di Bangunan Operasi Pelabuhan, Terminal Pending, baru-baru ini.
Ujarnya, pencapaian itu mencerminkan keupayaan KPA dalam memperkukuh peranannya sebagai hab logistik utama di Sarawak, selari dengan usaha berterusan meningkatkan kecekapan operasi serta pembangunan infrastruktur pelabuhan.
“Pembinaan tambahan bagi kapasiti 1,000 kenderaan lagi kini giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2026,” tambahnya.
Sementara itu, majlis berkenaan diadakan bagi menghargai sumbangan 19 kakitangan KPA yang bersara pada tahun lalu, selain menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta sijil tamat latihan kepada warga kerja.
“Sepanjang 2025, KPA telah melaksanakan sebanyak 242 program latihan dalaman dan 199 program latihan luaran, merangkumi kursus, seminar, webinar, ceramah serta bengkel bagi meningkatkan tahap profesionalisme kakitangan.
“Pelaburan dalam latihan dan pembangunan sumber manusia amat penting bagi memastikan KPA kekal berdaya saing serta mampu memenuhi tuntutan industri pelabuhan yang semakin mencabar,” katanya.
Dalam ucapannya, Azizul Annuar menegaskan kepentingan pembangunan modal insan sebagai asas utama kecemerlangan organisasi.

