Lembaga Pengurusan Sekolah St. Joseph terima dana RM2.5 juta daripada Kerajaan Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM2.5 juta kepada Lembaga Pengurusan Sekolah St. Joseph untuk dana pemulihan Blok Mill Hill sekolah berkenaan.

Cek tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada Pemangku Pengerusi Lembaga Sekolah St Joseph Christopher Chua selepas kunjungan hormat bertempat di Pejabat Ketua Menteri di sini.

Kunjungan tersebut bertujuan memberi penerangan mengenai kemajuan dan pemulihan bangunan sekolah tersebut.

Dana yang dipohon oleh pihak sekolah ini adalah untuk pembinaan blok baharu, membaik pulih bangunan, melancarkan sistem tadbir urus dan memantapkan kualiti serta standard pencapaian sekolah.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Presiden Old Josephians Association (OJA) Datuk Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM2.5 juta kepada Pemangku Pengerusi Lembaga Sekolah St Joseph Christopher Chua di sini, hari ini.