ARTIKEL

Datuk Lee Kim Shin dan barisan tetamu kehormat yang lain memotong kek sempena ulang tahun ke-30 Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, malam tadi.

Lembaga Sunga-Sungai Sarawak perlu perkenal pendekatan galak industri guna pengangkutan sungai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Lembaga Sungai-Sungai (LSS) Sarawak perlu memperkenalkan pendekatan baharu bagi menggalakkan pihak syarikat menggunakan pengangkutan sungai untuk membawa kargo dan bahan industri berat.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, ia bagi mengelakkan jalan raya cepat rosak akibat dilalui oleh kenderaan berat dan terlebih muatan seperti lori batu, balak dan simen.

Datuk Lee Kim Shin menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima APC.

“Seperti kita boleh lihat, semakin ramai menggunakan jalan darat selepas jalan Sibu-Kapit siap dibina.

Oleh itu, kita perlu mencari pendekatan bagi menggalakkan pihak industri menggunakan jalan sungai sebagai sistem pengangkutan mereka.

“Ini bagi mengelakkan jalan raya tersebut cepat rosak kerana kebanyakan pihak industri membawa barangan pembinaan seperti batu, pasir, simen, tanah dan sebagainya yang merupakan punca utama jalan di negeri ini berada dalam keadaan teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-30 Lembaga Sungai-Sungai Sarawak di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak LSS untuk berusaha ke arah tersebut, dalam masa yang sama meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi menjamin keselamatan pengguna.

Dalam hal berlainan, beliau mengingatkan penduduk yang tinggal di tebing sungai untuk sentiasa menjaga kebersihan dengan tidak menjadikan ia sebagai tong sampah.

“Jangan buang sampah sarap ke dalam sungai kerana ia memberi gambaran tidak sihat. Oleh itu pihak LSS harus memastikan mereka ini mematuhi peraturan dan kebersihan dengan membuang sisa ke dalam tong sampah sebenar.

“Ini kerana sungai memainkan peranan yang sangat penting dalam pelbagai aspek kehidupan manusia khususnya dari aspek ekosistem. Kalau sungai bersih, sudah tentu banyak ikan dan udang yang boleh memberikan hasil pendapatan kepada penduduk di sekitarnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar LSS bekerjasama dengan pihak majlis-majlis tempatan dalam menyelesaikan masalah sampah yang bukan hanya datang dari tebing sungai sahaja tapi turut dari daratan.

“Kita perlu melaksanakan kerjasama seperti memasang perangkap sampah bagi menahan sampah sarap daripada sistem perparitan masuk ke dalam sungai.

“Kita juga mesti memelihara kelestarian sungai dengan membina kerangka membaik pulih dan menambah baik kualiti air sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan.

“Ini telah terbukti dengan beberapa contoh sungai yang bersih seperti Sungai Sarawak dan Sungai Tabuan serta beberapa kawasan-kawasan di Kampung Pesang dan Kampung Peraya, Padawan yang telah menjadi tumpuan tarikan pelancong,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya sudah tiba masanya masyarakat mengubah mentaliti ke arah yang lebih peka terhadap kesan buruk yang bakal dihadapi ekosistem sungai sekiranya tidak terjaga.

Dalam majlis tersebut, Lee turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 19 penerima yang merupakan kakitangan LSS.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Harry Henry Jinep; Timbalan Menteri Pengangkutan (Penerbangan dan Jalan Raya), Datuk Dr Jerip Susil; ADUN Bukit Assek merangkap Jemaah Ahli Lembaga, Chieng Jin Ek; Pengerusi LSS, Dr. Murni Suhaili dan Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datuk Ir. Alice Jawan Empaling.

LAIN-LAIN BERITA

SAR hari kelima, bayi 18 bulan belum ditemui

KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi lelaki berusia 18 bulan yang dikhuatiri terjatuh dalam sungai Kanowit di Nanga Germai di sini, Ahad lalu

BERITA TERBARU