KUCHING: Sekolah perlu memainkan peranan penting dalam terus menyokong usaha memperkasakan pendidikan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta inovasi digital di Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata pendedahan melalui lawatan sambil belajar amat penting untuk memperluaskan minda pelajar.
“Kita mahu meningkatkan minat mereka terhadap bidang baharu yang semakin relevan dengan keperluan masa depan.
“Pengalaman lapangan sebegini memberi inspirasi dan pelajaran bermakna kepada mereka—sesuatu yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik darjah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang di sebuah restoran, di sini, malam tadi.
Majlis itu meraikan seramai 66 murid dan 13 guru dari dua sekolah di Sarikei sempena Lawatan Sambil Belajar membabitkan rombongan SK Sarikei (36 murid, enam guru) dan SK Penghulu Adin (30 murid, tujuh guru).
Len Talif turut menegaskan komitmennya terhadap pembangunan pendidikan di kawasan Kuala Rajang, khususnya dalam memastikan generasi muda mendapat pendedahan yang mampu membentuk masa depan lebih cerah.
Majlis berkenaan juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin masyarakat dan warga sekolah, sekali gus menyuntik semangat kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

