SARIKEI: Datuk Len Talif Salleh terbuka menerima sebarang keputusan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhubung pencalonannya bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Yang Dipertua PBB Sarawak itu berkata, beliau menghormati keputusan pucuk pimpinan parti dalam menentukan calon terbaik, termasuk melakukan pembaharuan bagi memastikan kepimpinan terus memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan penutupan Program Advokasi Perundangan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Len Talif berkata, beliau masih bersedia meneruskan khidmat sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi, terutama bagi memastikan beberapa perancangan pembangunan di Kuala Rajang dapat disempurnakan.
Sepanjang 15 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan N.41 Kuala Rajang, pelbagai usaha pembangunan telah dirancang dan beliau berharap pelaksanaannya dapat diteruskan sehingga mencapai matlamat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Dalam pada itu, Len Talif menegaskan kesinambungan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dikekalkan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan, khususnya yang berimpak tinggi, dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.



