MIRI: Kos pembesaran Lapangan Terbang Miri meningkat RM65 juta kepada RM445 juta berbanding anggaran asal RM380 juta susulan kenaikan harga barangan dan semakan semula kos projek.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, anggaran baharu itu ditetapkan selepas penelitian bersama pihak perunding dan agensi berkaitan pada awal tahun ini bagi mengambil kira perubahan harga semasa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tingkatan 5 SMK Pujut, di sini, hari ini.
Menurutnya, projek itu turut merangkumi cadangan pembinaan terminal dua tingkat bagi mengasingkan ruang pelepasan dan ketibaan penumpang, sekali gus mengatasi masalah kesesakan di terminal sedia ada.
Mengimbas perkembangan projek itu, Lee berkata, pembesaran lapangan terbang berkenaan pernah diluluskan pada 2017, namun tidak dilaksanakan susulan pertukaran kerajaan pada 2018.

Beliau kemudian membangkitkan semula keperluan projek itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika lawatan ke Miri pada 2025 yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Perdana Menteri kemudiannya mengumumkan peruntukan RM150 juta bagi projek berkenaan, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan pembesaran yang dirancang.
Perbincangan lanjut bersama kementerian, agensi berkaitan dan pihak perunding kemudian diadakan bagi meneliti skop pembangunan serta kos projek, termasuk cadangan pembinaan terminal dua tingkat.
Hasil penelitian itu menyaksikan anggaran kos projek ditetapkan pada RM380 juta pada 2025 sebelum dinaikkan kepada RM445 juta pada awal tahun ini.
Lee berkata, projek berkenaan mendapat kelulusan siling peruntukan RM445 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada April lalu dan kerja pembinaan disasarkan bermula pada suku kedua 2027 dan dijangka siap menjelang 2030.




