ARTIKEL

Abdul Karim ketika berucap sempena Kempen Komuniti Selamat Banjir dan Jenayah serta Pelancaran Dusun Komuniti di Dewan Serbaguna Kampung Sambir, hari ini.

Sokong parti yang utamakan kepentingan rakyat – Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rakyat Sarawak perlu terus menyokong parti yang mengutamakan kepentingan negeri dan mempunyai rekod perkhidmatan baik bagi memastikan kesinambungan pembangunan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, rakyat perlu bijak memilih parti yang mampu menjaga kebajikan mereka serta mempertahankan kepentingan Sarawak.

Sokongan rakyat penting bagi memastikan negeri ini terus ditadbir oleh kepimpinan yang memahami keperluan tempatan dan mampu menentukan hala tuju pembangunan sendiri.

“Walaupun di Kuala Lumpur kita mempunyai Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada mereka di sana. Jangan pula setiap kali hendak membuat keputusan, kita merujuk kepada Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kempen Komuniti Selamat Banjir dan Jenayah serta Pelancaran Dusun Komuniti di Dewan Serbaguna Kampung Sambir, di sini, hari ini.

Abdul Karim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, pemilihan calon bagi penggal akan datang perlu mengambil kira kesesuaian calon untuk mewakili rakyat dan meneruskan pembangunan negeri.

Semalam, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pembubaran itu membuka laluan kepada PRN Sarawak Ke-13, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pengundian kelak.

Mengulas kemungkinan pencalonannya, Abdul Karim berkata, keputusan itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti dan beliau bersedia menerima apa sahaja ketetapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU