KUCHING: Pengguna jalan raya di Jalan Lapangan Terbang, Kampung Cemerlang di sini, dinasihatkan supaya merancang perjalanan susulan pelaksanaan lencongan jalan sementara selama sebulan bermula hari ini.
Sarawak Metro Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan lencongan berkenaan dilaksanakan mulai 21 September hingga 21 Oktober 2026, selama 24 jam setiap hari.
Langkah itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja cerucuk dan pembinaan dijalankan di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta berhati-hati ketika melalui kawasan terbabit serta mematuhi semua langkah pengurusan trafik, papan tanda amaran dan had laju yang ditetapkan.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pekerja pembinaan sepanjang tempoh kerja dijalankan.
Sarawak Metro turut memaklumkan sebarang perubahan berkaitan notis lencongan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang tempoh pelaksanaan lencongan berkenaan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian hotline 1300-88-5887, Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum.
Pertanyaan juga boleh dihantar menerusi e-mel 555999@sarawak.gov.my atau info@mysarawakmetro.com.



