BINTULU: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diseru membuat pilihan bijak dalam menentukan hala tuju masa depan, selari dengan pelbagai peluang pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tamatnya alam persekolahan bukanlah penamat usaha menimba ilmu, sebaliknya menjadi permulaan kepada fasa kehidupan yang lebih mencabar dan bermakna.

Menurut beliau, ilmu pengetahuan, disiplin serta nilai murni yang diperoleh sepanjang berada di bangku sekolah perlu dijadikan asas kukuh untuk melangkah ke alam pengajian tinggi mahupun dunia pekerjaan.
“Sebagai lepasan SPM, para pelajar kini berada di persimpangan penting yang akan menentukan hala tuju masa depan mereka.
“Buatlah pilihan dengan penuh pertimbangan, berani mencuba perkara baharu dan jangan mudah berputus asa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau, Steven Kong Kai Seng pada Majlis Apresiasi Tingkatan Lima dan Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena di salah sebuah hotel, di sini pada Khamis.
Tiong turut menasihatkan lepasan SPM agar tidak takut untuk bermimpi besar dan tidak berasa rendah diri, sebaliknya melihat setiap kegagalan sebagai satu proses pembelajaran untuk bangkit dengan lebih tabah dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan tiada anak negeri tercicir daripada pendidikan, termasuk menerusi penyediaan pendidikan percuma di universiti milik kerajaan negeri bermula 2026.
Beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban kewangan keluarga selain membuka lebih banyak peluang kepada lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian.
Tiong turut menzahirkan penghargaan kepada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sambil menegaskan bahawa golongan berkenaan merupakan insan istimewa yang memiliki potensi dan kelebihan tersendiri.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan berterusan daripada guru, ibu bapa dan komuniti dalam membina keyakinan diri pelajar PPKI, selain menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan inklusif bagi memastikan semua pelajar mempunyai tempat dan peranan dalam masyarakat.

